3 Teknik Menanam Sifat Mulia Dalam Diri Anak Anda




MENJADIKAN DIRI CONTOH TELADAN. 

Anak-anak belajar daripada peniruan. Mereka melihat perkara yang berlaku di sekeliling mereka, lalu mereka menirunya. Kebiasaan yang menjadi perhatian anak-anak untuk ditiru adalah ibubapa mereka. Sesungguhnya, ibubapa adalah guru pertama yang mengajar anak-anak tentang hidup. Justeru itu, tidak sedikit anak-anak yang mempunyai perwatakan tertentu seperti ibubapa mereka.

Dalam soal ini, sebagai ibubapa, kita sewajarnya menjadi contoh teladan kepada anak-anak kita. Jika ingin anak kita menjadi orang yang baik, kita haruslah berusaha memperbaiki diri. Jangan menjadi seperti pepatah “Ketam mengajar anaknya berjalan lurus”.

Ibubapa harus mempunyai integriti, iaitu keselarian antara ucapan dengan tindakan. Apabila ibubapa menyuruh anaknya untuk mendirikan solat, maka ibubapa juga harus mendirikan solat. Barulah anak-anak akan memandang tinggi kepada ibubapa mereka.

Kegagalan ibubapa melaksanakan apa yang diajarkannya akan menjatuhkan kredibiliti ibubapa tersebut di mata kanak-kanak. Apabila kredibiliti ibubapa telah jatuh di mata anak-anak, maka segala tunjuk ajar dan nasihat amat sukar untuk diterima oleh anak-anak. Malah, anak-anak akan berusaha mencari teladan atau ‘role model’ lain sebagai ikutan mereka. Ada yang memilih ‘role model’ yang positif dan ada juga yang memilih ‘role model’ yang negatif.


MEMBERIKAN GANJARAN PUJIAN.

Memberikan ganjaran apabila anak-anak melakukan kebaikan adalah satu teknik yang ampuh bagi menanam dan mengekalkan sifat mulia dalam diri anak-anak. Ganjaran tidak semestinya perlu mengeluarkan wang atau membelikan benda sebagai hadiah. Cukup dengan satu pujian itu juga merupakan satu ganjaran bagi anak-anak.

Pujian tidak semestinya berbentuk duniawi. Kita boleh juga mengolah pujian yang bersifat ‘serampang dua mata’, selain mendidik anak dalam masa yang sama mendekatkan anak-anak kepada Allah s.w.t.

Misalnya, apabila anak-anak yang tersekat-sekat atau membaca al-Quran dengan tidak lancar, kita boleh puji mereka dengan berkata, “Alhamdulillah, Allah s.w.t. suka dengan orang yang gemar membaca al-Quran. Nabi s.a.w. kata, sesiapa yang membaca al-Quran dengan lancar dia dapat satu pahala, manakala orang yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat, tetapi dia terus belajar membacanya akan mendapat 2 pahala.” (Pujian diolah berdasarkan hadis shahih riwayat Muslim)

Apabila kita memuji, anak-anak akan rasa gembira seterusnya mengekalkan sifat tingkah laku baik yang mereka telah lakukan. Walaupun kebaikan yang dilakukan oleh mereka, janganlah kita berat mulut untuk meluahkan pujian ke atas mereka.

Satu kesilapan yang dilakukan oleh sesetengah ibubapa, apabila anak-anak melakukan kebaikan, mereka tidak memberikan ganjaran sedikit pun walaupun sekadar pujian yang mudah. Namun, apabila anak-anak melakukan kesilapan yang kecil ibubapa membesar-besarkannya. Akhirnya anak-anak tersebut merasa tiada gunanya melakukan kebaikan, kerana tiada orang yang akan menghargainya, lantas mereka meninggalkan kebaikan dan melakukan keburukan.


DIALOG EMPATI.

Dialog empati ini adalah teknik yang saya ekstrak daripada hadis shahih. Pernah suatu ketika terdapat seorang lelaki meminta izin kepada Rasulullah s.a.w. untuk berzina. Para sahabat berdekatan baginda s.a.w. marah mendengar kata-kata lelaki tersebut, lalu baginda s.a.w. memulakan dialog dengan lelaki tersebut.

Antara yang ditanya oleh baginda s.a.w. “Sukakah engkau jika zina itu terjadi kepada ibumu?”, “Sukakah engkau jika zina itu terjadi kepada anak perempuanmu?” “Sukakah engkau jika zina itu terjadi kepada adik beradik perempuanmu?” Semua jawapan lelaki tersebut adalah “Tidak suka.” Maka Nabi s.a.w. berkata bagi setiap jawapan lelaki tersebut, bahawa orang lain pun tidak mahu perkara sedemikian berlaku orang yang terdekat dengan mereka. Di akhirnya cerita disebutkan bahawa lelaki tersebut membatalkan niatnya untuk berzina dan meminta Nabi s.a.w. mendoakan beliau. (Berdasarkan hadis riwayat Ahmad dan dinilai Shahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

Teknik dialog empati adalah teknik yang digunakan untuk membuatkan anak kita merasakan apa yang dirasai oleh orang lain. Dalam menggunakan teknik ini, hendaklah dilakukan dengan tenang. Adapun jika ia dilakukan dalam keadaan marah dan meninggikan suara, mungkin kesannya kurang terasa.

Contoh aplikasi teknik ini, apabila anak kita melakukan keburukan kepada orang lain, maka tanyakan kepadanya apakah perasaannya bila orang lain melakukan perkara yang sama kepada orang yang terdekat dengannya? Demikian untuk menegah mereka daripada keburukan. Jika mendorong mereka berakhlak mulia, maka kita tetap boleh menggunakan teknik dialog empati ini. Misalnya kita mahu mendorong anak untuk bersedeqah kepada mereka yang ditimpah musibah kebakaran, maka kita tanyakan kepada anak kita, bagaimana perasaannya jika kita berada dalam situasi yang sama? Nescaya ia akan mencetuskan emosi tertentu yang akan mendorongnya berbuat kebaikan.

Demikianlah 3 teknik mudah yang saya kongsikan dengan anda dalam penulisan kali ini. Diharapkan ia memberikan manfaat kepada anda. Sekiranya anda mempunyai rakan-rakan yang mungkin berminat dengan penulisan ini, silakan untuk kongsikan blog ini bersama rakan-rakan anda. Semoga ia akan memberikan manfaat kepada mereka juga.




Dapatkan lebih banyak ilmu mendidik anak di sini (klik) >>> Tarbiyatul Aulad Fil Islam – Dr. Abdullah Nasih Ulwan.




(Sumber gambar: SyakirKids )