5 Kunci Utama Mendidik Anak Soleh & Solehah




Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah  s.w.t. yang cukup berharga kepada Ibubapa. Mereka merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan  sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat.

Ketika masih hidup di dunia anak yang soleh dan solehah akan menjadi penyejuk mata dan penawar hati kepada ibubapa. Apabila ibubapa telah meninggal dunia, anak yang soleh dan solehah akan menjadi penyumbang pahala bagi ibubapa yang telah pergi untuk selamanya.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya." (Riwayat Muslim)

Terdapat beberapa perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam proses melahirkan zuriat yang soleh dan solehah:


PERTAMA: SENTIASA BERDOA KEPADA ALLAH S.W.T.

Keinginan untuk memiliki zuriat yang soleh dan cemerlang hendaklah dengan cara berdoa kepada Allah s.w.t. kerana amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah dalam surah Ali - Imran ayat: 38

"Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaKu daripada sisiMu zuriat keturunan yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan."

Dalam ayat ini menjelaskan kepada kita para nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah s.w.t.  agar dikurniakan zuriat keturunan yang baik.


KEDUA: MENANAMKAN AKIDAH YANG BENAR.

Akidah merupakan asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana akidah yang mantap sahaja mampu menjamin kebahagian dan kecemerlangan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Selain itu, anak-anak yang mempunyai pegangan akidah yang mantap tidak akan mudah untuk menyeleweng atau diselewengkan. Lebih-lebih lagi dapat melahirkan insan yang sentiasa dapat menjaga iman mereka serta menjauhi perkara-perkara syirik yang boleh menyesatkan mereka.

Ajarkan kepada anak-anak agar mengenal Allah s.w.t. yang menciptakan dan mengapa kita berada di dunia ini, agar kehidupan mereka lebih terarah kepada kebaikan.


KETIGA: MEMBERI PENEKANAN DARIPADA SUDUT IBADAH.


Penekanan dari sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan  kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan  jalinan hubungan dengan Allah s.w.t sepanjang masa dengan sentiasa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap suruhan dan meninggalkan segala larangannya pada setiap masa.

Pantaulah ibadah wajib anak-anak seperti solat, menutup aurat, berpuasa dan menuntut ilmu. Jangan biarkan mereka terlepas dan meninggalkan ibadah wajib yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t.

Dengan melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak-anak tentang sifat-sifat manusia sebagai hamba disisi Allah s.w.t. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Anam ayat 162 :

"Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam."


KEEMPAT: MEMBERI PENEKANAN DARIPADA SUDUT AKHLAK.

Memiliki akhlak terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang muslim sejati. Dengan memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dalam sesebuah masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Kerana itulah, junjungan besar nabi Muhammmad s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Selain itu, dengan memiliki akhlak yang mulia merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan dihari akhirat berbanding dengan akhlak tercela yang akan melambatkan proses hisab dihadapan Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

"Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia." (Riwayat at-Tirmidzi, darjatnya hasan shahih)


KELIMA: MEMASTIKAN MAKANAN ANAK-ANAK DARIPADA SUMBER YANG HALAL.

Setiap ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak merupakan  makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya.

Kerana makanan yang bersumberkan dari rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sehat. Dan akhirnya mendorong seseorang kearah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 :

"Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."

Demikianlah kelima-lima perkara yang telah disebut tadi amat penting diberi perhatian untuk membina  insan yang soleh dan solehah dan merupakan modal insan yang akan memainkan peranan untuk membangun masyarakat dan Negara Islam yang maju mengikut acuan agama.



Inginkan lebih tip mendidik anak soleh dan solehah? Klik sini >> Buku Tarbiyatul Aulad Fil Islam - Dr. Abdullah Nasih Ulwan